Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal membuka ruang buat para pelatih akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menceburi bidang sains sukan dan kecergasan.
JDT dan UTM sedang dalam peringkat akhir perbincangan lanjut bagi lepasan pelatih di Akademi JDT untuk diserap ke Program Diploma Sains Sukan & Kecergasan.
Menurut JDT, program tersebut bakal menawarkan pilihan kepada pelatih Akademi JDT untuk meneruskan pengajian sambil mengejar impian menjadi pemain bola sepak. Mereka yang mengikuti program Diploma juga selepas tamat pengajian diberi pilihan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Ijazah Sarjana Muda.
JDT & UTM telah mengaturkan sesi taklimat kepada para pelatih Akademi JDT bagi memberi kesedaran tentang pilihan universiti selepas tamat pengajian di sekolah menengah.
JDT dan UTM juga mempunyai hubungan yang sangat baik beberapa tahun kebelakangan ini di mana Pelatih Akademi JDT sepenuh masa tinggal di Asrama UTM dan menggunakan kemudahan sukan di sana. Akademi JDT adalah satu-satunya akademi sepenuh masa kelab bola sepak profesional yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan.
Kerjasama ini bakal memberi ruang dan peluang buat pelatih di Akademi JDT untuk mendapat pendidikan yang baik disamping bergelar seorang pemain bola sepak.