Jurulatih Bangladesh Berasa Hairan Dan Pelik
MakanBola
Bangladesh FF

Pengendali Bangladesh, Thomas Dooley mengakui merasa hairan dengan perubahan masa tambahan yang berlaku dalam aksi terakhir Kumpulan A FIFA ASEAN Cup antara pasukan itu dan Indonesia baru-baru ini.

Isu masa tambahan perlawanan tersebut menjadi bualan hangat ramai peminat bola sepak. Ini kerana masa tambahan yang diperuntukkan ialah dua minit sebelum diubah kepada tujuh minit.

Perubahan tersebut menyebabkan Indonesia menyumbat dua gol lewat pada masa tambahan. Hal ini memastikan Indonesia layak ke final FIFA ASEAN Cup selaku juara Kumpulan A dengan membelasah Bangladesh 9-2.

Apabila diminta mengulas perkara itu, Dooley mengakui merasa hairan dengan apa yang berlaku.

“10 hingga 15 minit terakhir berlangsung dengan begitu aneh kerana sepertinya banyak keadaan yang tidak menguntungkan kami.

“Ketika awalnya, permainan diberikan dua minit masa tambahan dan kemudiannya bertukar secara tiba-tiba menjadi tujuh minit selepas kami (Bangladesh) menjaringkan gol.

“Kalau melihat dari sisi kurang baik, Indonesia mendapat waktu yang lebih panjang untuk menjaringkan gol,” katanya seperti dilaporkan BolaKita.

Meskipun begitu, Dooley melihat pengalaman menyertai FIFA ASEAN Cup sebagai satu pengalaman berharga buat Bangladesh. Ini dilihat persiapan terbaik sebelum menghadapi SAFF Championship yang akan berlangsung pada bulan hadapan.

“Kami belajar banyak perkara di sini (FIFA ASEAN Cup) dan harapnya ia membantu persiapan kami ke SAFF (Championship), bulan depan,” tambahnya.

Bangladesh menutup kempen FIFA ASEAN Cup di tangga terakhir Kumpulan A tanpa sebarang mata.