Wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai sedia turun habis-habisan bagi meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi pusingan keempat, liga Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 26-27, Selasa ini.
Jeonbuk Hyundai tidak berasa gusar untuk melayan tentangan juara bertahan Malaysia ini, malah bertekad memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri bagi meraih tiga mata.
Ketua jurulatih Jeonbuk, Chung Jung-yong berkata, “Perlawanan ACL ini penting di tengah-tengah jadual liga yang padat. Esok kami bermain di laman sendiri. Kami mesti menang dan mengumpul mata. Kami akan membuat persiapan rapi dengan kekuatan penuh esok dan mempamerkan keputusan yang baik.”
Mengulas lanjut, pengendali berusia 57 tahun itu memberi bayangan bahawa pemain-pemain utama akan diturunkan.
“Sebelum ini, bergantung kepada situasi perlawanan, kami menurunkan barisan terbaik. Kali ini di laman sendiri. Sudah pasti ada mata yang wajib kami raih. Kami mesti menang esok.
“Pihak lawan ialah pasukan kuat yang bergantung kepada tekanan tinggi. Kami akan bersedia dengan baik dan fokus untuk meraih seberapa banyak mata yang mungkin,” katanya.
Mengakui kekuatan lawan, jurulatih itu berkata, “Berdasarkan data, lawan kami belum pernah tewas. Mereka juga menguasai kira-kira 60% penguasaan bola. Mereka sukar dibolosi dan merupakan pasukan yang kuat.
“Pasukan kami akan memperkukuh organisasi pertahanan di laman sendiri untuk meneutralkan kekuatan lawan. Apabila peluang muncul, kami akan mencipta ruang dan membina serangan. Dengan cara itu, kami akan meraih keputusan,” tambahnya pada sesi sidang media pra-perlawanan, hari ini memetik laporan biz.chosun.
Setakat ini, JDT membawa momentum yang baik dalam kempen ACLE 2026-27. Wakil Malaysia itu memulakan aksi dengan keputusan seri 1-1 menentang Buriram United di laman sendiri, sebelum menundukkan Pohang 2-0 di Korea Selatan hasil dua gol Marcos Guilherme.
Kemenangan terbaharu pula diraih dengan membenam Port FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus meletakkan mereka di tangga keempat dengan tujuh mata, hanya dua mata di belakang pendahulu, Kashima Antlers.
Sebaliknya, juara K League 1 itu mempamerkan prestasi kurang konsisten. Jeonbuk membuka kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Kashiwa Reysol, namun tewas 0-2 kepada Vissel Kobe sebelum hanya mampu seri 2-2 dengan Beijing Guoan di Beijing.
Keputusan itu menyaksikan mereka berada di tangga ke-10 daripada 16 pasukan dengan empat mata, di luar zon lapan teratas buat masa ini.
Aksi Jeonbuk Hyundai menentang JDT dijadual berlangsung di Stadium Piala Dunia Jeonju, Korea Selatan, jam 6.00 petang (waktu Malaysia).


