Malaysia berjaya membawa pulang pingat perak dalam acara hoki lelaki di Sukan Asia 2026 selepas tewas kepada India dalam aksi final pada Sabtu.
Perlawanan akhir acara hoki lelaki Sukan Asia 2026 menyaksikan Malaysia akur tumpas kepada pasukan gergasi dunia, India 5-1 dalam aksi final sekali gus memadam impiam Speedy Tigers untuk meraih pingat emas dan slot ke Sukan Olimpik 2028.
India membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti Harmanpreet Singh seawal minit ke-11, yang terus menerjah ke gawang Malaysia untuk meletakkan kem gergasi Asia tersebut ceria apabila mendahului permainan di awal aksi.
Jaringan tersebut tidak bertahan lama selepas hantaran jauh oleh Fitri Saari ditampan cantik Shello Silverius sebelum penyerang negara itu melepaskan pukulan deras untuk menyamakan kedudukan buat Malaysia di minit ke-14.
Hasrat Malaysia untuk kembali ke bilik persalinan dengan keputusan seri tidak kesampaian setelah gawang negara dibolosi sekali lagi hasil pukulan sudut penalti Jugraj Singh sekali gus memberikan kelebihan tipis buat India.
Babak kedua bersambung menyaksikan India melebarkan kedudukan 3-1 setelah Hardik Singh dengan tenang menyudahkan pukulan penalti stroke pada minit ke-42, akibat kesalahan yang dilakukan oleh pemain Malaysia.
Tekanan demi tekanan yang diberikan oleh India memaksa pemain-pemain Malaysia untuk kekal bertahan, terutamanya dengan deretan pukulan sudut penalti yang diterima pasukan lawan sekali gus menyukarkan skuad negara menyerang.
Jaringan Shilanand Lakra dan Harmanpreet Singh pada minit ke-54 dan 57 menutup malam gemilang buat kem India dengan gol keempat serta kelima, tatkala perjuangan hebat Malaysia dari peringkat kumpulan berakhir hebat di final.
Aksi tamat dengan keputusan 5-1 memihak India untuk membawa pulang pingat emas dan slot automatik ke Sukan Olimpik 2028, tatkala Malaysia pula akur meraih pingat perak, mengulangi pencapaian edisi 2010 dan 2018 yang lalu