Skuad hoki Malaysia membuka kempen Kumpulan B Sukan Asia 2026 dengan langkah kanan apabila membelasah Uzbekistan dalam aksi pertama kumpulan.
Selepas berdepan kempen mengecewakan dalam saingan Piala Dunia Hoki 2026, anak buah Brendan Carolan berharap dapat bangkit dengan memburu tiket ke Sukan Olimpik 2028. Hanya pemenang pingat emas saja layak secara merit ke temasya itu.
The Speedy Tigers menunjukkan mereka mengimpikan kemenangan dengan meraih gol pertama menerusi pukulan penalti Norsyafiq Sumantri pada minit ke-11.
Penyerang veteran, Faizal Saari terus membuktikan dirinya tetap berbisa di depan gol. Faizal meledakkan gol padang pada minit ke-15 sebelum menyempurnakan penalti sembilan minit selepas itu.
Kelebihan tiga gol memastikan Malaysia mendahului Uzbekistan 3-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, skuad negara makin bernafsu mencari peluang merobek gawang Uzbekistan yang dikawal penjaga gol, Davlat Tolibbaev.
The Speedy Tigers hanya memerlukan enam minit selepas rehat untuk menyumbat gol keempat. Kali ini, giliran Azimuddin Syakir Kamaruddin menyempurnakan pukulan penalti.
Uzbekistan makin derita apabila Faizal mencipta hatrik pada minit ke-43. Penyerang Terengganu Hockey Team (THT) itu mudah menyempurnakan pukulan penalti stroke yang menewaskan Tolibbaev.
Azrai Azad Abu Kamal dan Faiz Jali melengkapkan aksi cemerlang skuad negara dengan masing-masing meledakkan gol keenam dan ketujuh pada minit akhir perlawanan.
Uzbekistan berusaha mencari gol untuk mengurangkan defisit dengan kem negara tetapi keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Selepas ini, Malaysia akan menentang Oman pada 22 September.