FIFA ASEAN Cup · Aksi Penentuan Tempat Ke-3
Malaysia
5:00 PM
MYT
Vietnam
5 October 2026
Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta
Bermula dalam —

Live: Malaysia vs Vietnam – FIFA ASEAN Cup

Saluran TV & live streaming rasmi

Malaysia vs Vietnam

Pratonton perlawanan

Tonton aksi Malaysia vs Vietnam dalam perebutan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup 2026.

Setelah terlepas peluang layak ke pentas final, Malaysia dan Vietnam bakal bertemu dalam aksi penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, esok.

Harimau Malaya hadir dengan momentum positif selepas menamatkan saingan Kumpulan A tanpa kekalahan dengan mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Malaysia bermula dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh sebelum mengekalkan rekod tanpa bolos ketika seri 0-0 menentang Indonesia.

Anak buah Tan Cheng Hoe kemudian menutup saingan kumpulan dengan kemenangan bergaya 6-0 ke atas Singapura, namun keputusan itu masih belum cukup untuk membawa Malaysia ke final selepas Indonesia muncul juara kumpulan menerusi kelebihan jumlah jaringan.

Kekecewaan tersebut pastinya menjadi pembakar semangat buat skuad negara untuk menamatkan kempen sulung FIFA ASEAN Cup dengan kemenangan dan membawa pulang pingat gangsa.

Namun, cabaran besar menanti apabila Malaysia bakal berdepan Vietnam yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke aksi penentuan tempat ketiga selepas menewaskan Pakistan 4-2.

Vietnam terlebih dahulu dikejutkan dengan gol Mohib Ullah pada minit ke-31, namun skuad kendalian Kim Sang-sik bangkit pada babak kedua menerusi jaringan Nguyen Hai Long, Nguyen Hoang Duc, Nguyen Dinh Bac dan Williams Minh Hoang.

Kemenangan itu menyaksikan Vietnam menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan kedua dengan enam mata, di belakang Thailand yang muncul juara kumpulan.

Pertembungan esok turut menjadi peluang buat Malaysia membalas kekecewaan selepas tewas kepada Vietnam dalam dua pertemuan separuh akhir ASEAN Championship sebelum ini.

Lebih menarik, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya menamatkan kemarau kemenangan Malaysia ke atas Vietnam yang berlarutan sejak 2014.

Malaysia kali terakhir menewaskan Vietnam pada separuh akhir Piala AFF 2014 apabila skuad kendalian Dollah Salleh mencatat kemenangan 4-2 di Hanoi untuk mara ke final dengan agregat 5-4.

Sejak kemenangan tersebut, Malaysia gagal menewaskan Vietnam dalam 12 pertemuan dengan rekod 11 kekalahan dan satu keputusan seri.

Bagaimanapun, situasi kali ini dilihat berbeza apabila kedua-dua pasukan hadir dengan barisan pemain yang berbeza berbanding pertemuan mereka dalam ASEAN Championship.

Malaysia sendiri bakal kehilangan dua tonggak penting apabila kapten Dion Cools tidak dapat diturunkan atas urusan peribadi, manakala Faisal Halim turut tidak bersama pasukan selepas pulang ke tanah air bagi mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan betis dan tendon.

Ketiadaan Cools khususnya bakal menguji kekuatan benteng Harimau Malaya memandangkan pemain pertahanan itu bukan sahaja penting dari aspek taktikal, malah memainkan peranan sebagai pemimpin di atas padang.

Dalam masa sama, Malaysia menerima berita positif apabila Bergson Da Silva bebas daripada penggantungan dan boleh kembali diturunkan selepas mengutip dua kad kuning sebelum ini.

Penyerang naturalisasi itu tampil cemerlang ketika menentang Singapura apabila meledak hatrik dalam kemenangan 6-0, sekali gus menjadikan dirinya antara pemain yang perlu diberi perhatian oleh pertahanan Vietnam.

Vietnam pula dijangka hadir dengan keyakinan tersendiri selepas bangkit menewaskan Pakistan, namun mereka turut berdepan persoalan kecergasan selepas melalui jadual padat sepanjang kejohanan.

Dengan kedua-dua pasukan sudah tidak mempunyai peluang untuk merebut kejuaraan, aksi penentuan tempat ketiga ini tetap membawa makna besar sebagai peluang menutup kempen FIFA ASEAN Cup dengan kemenangan.

Bagi Malaysia, kemenangan bukan sahaja mampu menghadiahkan tempat ketiga, malah menjadi peluang terbaik untuk menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam yang sudah berlangsung lebih sedekad.

Aksi Malaysia menentang Vietnam akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Isnin, 5 Oktober 2026, dengan sepak mula dijadualkan pada jam 4 petang waktu Malaysia.

Berita berkaitan