Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu memberikan perhatian khusus terhadap kelibat pemain serangan Jeonbuk Hyundai Motors, Lee Seung-woo menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) 2026/2027 pada Selasa.
Pemain berusia 28 tahun yang turut dikenali dengan gelaran ‘Messi Korea’ itu pernah menyertai akademi terkenal Barcelona, La Masia ketika berusia 13 tahun sebelum mencuri perhatian menerusi persembahan cemerlang di peringkat remaja.
Gelaran tersebut mula melekat pada dirinya selepas Lee Seung-woo mencatatkan 39 gol dalam 29 perlawanan bersama pasukan Infantil A Barcelona, sekali gus memecahkan rekod jaringan terdahulu yang pernah dicatatkan Lionel Messi di peringkat akademi kelab itu.
Lee Seung-woo yang menyarung jersi nombor 10 Jeonbuk memiliki kualiti individu yang mampu memberikan masalah kepada benteng pertahanan lawan menerusi kelincahan menggelecek, kepantasan dan kreativiti ketika menguasai bola.
Malah, pemain kelahiran Suwon itu turut membuktikan sumbangannya dalam saingan domestik apabila sudah meledak lapan gol dan menghasilkan empat bantuan jaringan dalam 33 penampilan K League 1 musim 2026.
Rekod tersebut menyaksikan Lee Seung-woo mengumpulkan 12 sumbangan jaringan dalam saingan liga, sekali gus menjadikannya antara pemain yang perlu diberikan perhatian oleh barisan pertahanan Harimau Selatan.
Malah, pengendali JDT, Xisco Munoz sendiri mengakui kualiti yang dimiliki Lee Seung-woo ketika ditanya mengenai pemain Jeonbuk yang berpotensi memberikan ancaman kepada pasukannya dalam sidang media praperlawanan.
“Jeonbuk mempunyai pemain pada tahap yang berbeza. Pemain nombor 10 (Lee Seung-woo) sangat berbahaya. Dia seorang pemain yang bagus,” katanya.
Xisco turut mengingatkan bahawa Jeonbuk memiliki beberapa pemain sayap yang mempunyai kemahiran individu dan kepantasan, sekali gus menuntut JDT untuk memberikan perhatian terhadap keseluruhan jentera serangan lawan.
Pemain pertahanan JDT, Oscar Arribas yang turut menghadiri sidang media tersebut juga menyenaraikan Lee Seung-woo sebagai salah seorang pemain Jeonbuk yang perlu diawasi selain pertahanan tengah, Park Ji-soo.
“Bagi saya, pemain nombor 5 (Park Ji-soo) dan nombor 10 (Lee Seung-woo) perlu diberikan perhatian. Seperti yang dikatakan jurulatih, khususnya nombor 10 mempunyai kepantasan yang bagus,” jelas Arribas.
Situasi itu meletakkan barisan pertahanan JDT dalam tugas penting untuk mengawal pergerakan Lee Seung-woo, terutama ketika pemain tersebut menerima bola di kawasan antara barisan tengah dan pertahanan serta cuba mencipta ruang untuk melakukan percubaan atau menghasilkan peluang jaringan.
Bagaimanapun, Harimau Selatan hadir dengan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan awal ACLE selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Buriram United sebelum menewaskan Pohang Steelers 2-0 dan Port FC 3-0.
Jeonbuk pula mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan dalam tiga perlawanan awal kejohanan tersebut, sekali gus meletakkan mereka di kedudukan ke-10 carta Liga Timur.
Pertemuan di Stadium Piala Dunia Jeonju pada Selasa itu pastinya menjadi satu lagi ujian buat benteng pertahanan JDT yang perlu memastikan kelibat ‘Messi Korea’ tidak diberikan ruang untuk mempamerkan kemampuan sebenarnya.


