Dunia bola sepak Sepanyol dilanda kebimbangan apabila penyerang CD Tenerife, Jesús de Miguel, terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami henti jantung susulan pertembungan kuat dengan penjaga gol lawan dalam aksi Divisyen Kedua Sepanyol, malam Isnin.
Insiden itu berlaku ketika Tenerife menerima kunjungan FC Andorra di Stadium Heliodoro Rodríguez López. De Miguel yang sedang berlari dari tengah padang untuk memanfaatkan peluang serangan balas bertembung dengan penjaga gol Andorra, Jesús Owono, dalam satu situasi yang menyebabkan pengadil melayangkan kad merah kepada Owono.
Akibat pertembungan itu, De Miguel jatuh tidak sedarkan diri di atas padang. Pemain kedua-dua pasukan segera memanggil pasukan perubatan untuk masuk ke padang selepas melihat keadaan penyerang tersebut. Pasukan perubatan bersama petugas Palang Merah terus melakukan bantuan pernafasan dan pemulihan jantung (CPR) selama lebih lima minit.
Usaha pantas itu membuahkan hasil apabila denyutan nadi De Miguel berjaya dipulihkan dan beliau mampu bernafas sendiri, walaupun masih tidak sedarkan diri ketika dibawa ke hospital. Penyerang berusia 30 tahun kelahiran Madrid itu dibawa keluar menggunakan pengusung sebelum dipindahkan ke ambulans yang menunggu di luar stadium.
Perlawanan yang ketika itu terikat 2-2 terus dihentikan. Pemain Tenerife dan Andorra sepakat untuk tidak meneruskan baki perlawanan selepas insiden tersebut.
Dalam kenyataan rasmi terkini, Tenerife memaklumkan De Miguel kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Nuestra Señora de Candelaria dalam keadaan stabil, namun masih serius. Rakan sepasukan turut bergegas ke hospital, manakala keluarga pemain meminta agar semua maklumat berkaitan kesihatannya hanya disalurkan melalui laporan perubatan rasmi kelab.
Andorra turut menghantar mesej sokongan menerusi media sosial, mendoakan De Miguel segera pulih dan menyampaikan pelukan erat kepada pemain, keluarganya serta Tenerife. Sokongan juga mengalir daripada bekas-bekas kelab De Miguel, selain gelombang solidariti yang menyatukan penyokong, institusi dan kelab dari seluruh Sepanyol.
De Miguel merupakan antara penyerang yang meniti karier dari bawah. Sebelum menyertai Tenerife, beliau pernah beraksi bersama Castellón, Unionistas de Salamanca, Navalcarnero dan Fuenlabrada. Musim lalu, beliau menjaringkan 11 gol dalam 29 perlawanan bersama Tenerife di Primera RFEF.
Insiden ini sekali lagi membuktikan betapa pentingnya kesiapsiagaan pasukan perubatan di setiap perlawanan bola sepak, dari peringkat profesional hingga akar umbi. Tindakan pantas dalam beberapa minit pertama boleh menjadi penentu antara hidup dan mati.


