Imanol Machuca akhirnya kembali beraksi selepas selesai menjalani penggantungan yang diputuskan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Selepas tamat tempoh penggantungan pada 1 November lalu, Machuca tidak berdepan masalah untuk mewakili kelab baharunya, Independiente.
Pemain sayap berusia 26 tahun itu membuat penampilan pertama buat kelab itu dalam aksi menentang Defensa y Justicia pada Selasa.
Machuca masuk pada minit ke-88 menggantikan rakan sepasukan, Santiago Montiel. Aksi itu berkesudahan dengan kedua-dua pasukan seri 1-1.
Leandro Fernandez meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-38. Independiente kemudiannya menyamakan kedudukan enam minit selepas itu menerusi penalti Maxi Meza.
Dua lagi pemain dijangka kembali beraksi iaitu Joao Figueiredo dan Jon Irazabal. Ini kerana kelibat kedua-dua pemain dilihat menyertai rombongan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Korea Selatan.
JDT bakal turun dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Jeonbuk Hyundai Motors pada Selasa.


