Pohang Steelers Derita Sebelum Jumpa JDT
MakanBola
FC Pohang Steelers

Lawan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Pohang Steelers terus bergelut dengan prestasi tidak menentu dalam enam teraksi mereka.

Terbaru, Pohang tewas 3-0 di tangan Incheon United dalam aksi terbaru K-League 1 pada 9 Oktober lalu. Kekalahan ini menyaksikan anak buah Park Tae-ha kembali merudum selepas menewaskan FC Seoul dalam aksi sebelumnya.

Lee Min-hyuk membuka tirai jaringan pada minit ke-17. Bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Lee Chung-yong meledakkan gol kedua Incheon pada minit ke-40.

Stefan Mugosa memastikan Pohang kecundang di Stadium Bola Sepak Incheon menerusi gol pada minit akhir babak pertama.

Keputusan ini menyaksikan Pohang kini di tangga kesembilan liga dengan 40 mata. Meskipun memiliki jurang lapan mata dengan Bucheon FC yang menduduki tangga ke-12 liga, pasukan itu masih berpotensi diheret ke perlawanan playoff penyingkiran.

Enam aksi terakhir Pohang menyaksikan pasukan itu tewas tiga kali, seri dua kali dan menang sekali. Ini termasuk kekalahan 3-1 di tangan Beijing Guoan dalam saingan ACLE.

Pohang kini perlu bangkit dalam aksi kedua ACLE menentang JDT di Pohang Steelyard pada 13 Oktober ini.