Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa melupakan khidmat ‘orang besi’ berdarah Azerbaijan-Sepanyol, Eddy Israfilov untuk dua aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Semakan di laman sesawang Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menunjukkan Israfilov perlu menjalani penggantungan dua perlawanan.
Keputusan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Etika dan Disiplin AFC yang mengadakan mesyuarat pada 8 Oktober lalu. Israfilov dikenakan hukuman selepas dibuang padang dalam aksi pertama ACLE antara JDT dan Buriram United.
Selain beliau, kapten Buriram United, Kenny Dougall juga bernasib malang apabila diarah keluar padang. Hal itu berlaku kerana beliau mengutip kad kuning kedua.
Aksi tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 15 September lalu. Keputusan ini menyaksikan Israfilov bukan saja terlepas aksi menentang Pohang Steelers pada 13 Oktober.
Malah, beliau juga terpaksa melupakan aksi menentang kelab Thailand, Port FC di SSI pada 27 Oktober. Selain penggantungan, Israfilov juga dikenakan denda AS$2,000 (RM8,170).