“Akhirnya Saya Anak Malaysia” – Giancarlo Gallifuoco
MakanBola
KL City FC

Impian bek tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco untuk mewakili Malaysia semakin hampir menjadi kenyataan.

Sebelum ini, bek tengah berusia 32 tahun itu memaklumkan proses naturalisasinya sedang berjalan. Gallifuoco dan peguamnya menunggu beberapa kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum proses itu dibawa ke peringkat selanjutnya.

“Peguam saya sudah berhubung dengan KL City untuk mengambil langkah-langkah selanjutnya. Saya percaya kita kini menunggu beberapa kelulusan daripada FAM.

“Apabila kita mendapat semua kelulusan itu, kita harap kita dapat teruskan ke langkah proses naturalisasi seterusnya,” katanya.

Kini, bekas pemain remaja Tottenham Hotspur itu memaklumkan beliau kini menunggu kelulusan surat pasukan perundangan FAM. Apabila proses itu lengkap, penantian Gallifuoco bergelar warga Malaysia berakhir.

“Kita sekarang tengah tunggu surat daripada pasukan perundangan FAM untuk kelulusan dan kemudian, semua siap. Akhirnya, saya anak Malaysia,” katanya di X.

Sekiranya semua proses berjalan lancar, Gallifuoco bakal menjadi pemain naturalisasi baharu yang memperkuatkan benteng Harimau Malaya.

Pemenang Piala Malaysia 2021 itu berpeluang menyertai kem negara jika dipanggil untuk dua aksi persahabatan menentang China pada November ini.