Bek tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco berkongsi proses naturalisasi terkini yang perlu diharunginya sebelum dapat mewakili Malaysia.
Gallifuoco memaklumkan peguamnya sudah berhubung dengan pengurusan The City Boys tentang proses naturalisasi beliau. Mereka kini menunggu kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sekiranya semua berjalan lancar, proses naturalisasi Gallifuoco dapat diteruskan ke langkah selanjutnya. Ini sekali gus merealisasikan impiannya menyarung jersi Harimau Malaya.
“Peguam saya sudah berhubung dengan KL City untuk mengambil langkah-langkah selanjutnya. Saya percaya kita kini menunggu beberapa kelulusan daripada FAM.
“Apabila kita mendapat semua kelulusan itu, kita harap kita dapat teruskan ke langkah proses naturalisasi seterusnya,” katanya dalam satu hantaran di Instagram. Hantaran itu turut dikongsikan Harimau Abroad.
Jika proses tersebut berjalan lancar, Gallifuoco bakal menjadi pemain naturalisasi terbaru yang membawa cabaran Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini, FAM telah mengesahkan Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo sebagai pemain naturalisasi baharu Harimau Malaya. Kedua-dua pemain menjadi aset skuad Tan Cheng Hoe dalam mendepani kempen FIFA ASEAN Cup.