Kelab Liga Super, Terengganu FC sedang bergelut dengan prestasi tidak menentu akhirnya tampil bersuara.
Pihak pengurusan mengambil langkah melakukan bedah siasat dalaman dan bersedia mengambil tindakan tegas terhadap barisan kejurulatihan.
Langkah itu diambil susulan kekecewaan penyokong terhadap prestasi pasukan kebelakangan ini. Kelab berkenaan tewas dalam dua perlawanan terakhir, dan kekalahan itu meletakkan mereka di kedudukan ke-9 liga.
Pengurusan Terengganu Football Club (Terengganu FC) dalam satu kenyataan memaklumkan mereka mengambil maklum dan memahami sepenuhnya kebimbangan, kritikan serta kekecewaan penyokong berhubung prestasi pasukan.
“Kami mengakui bahawa pencapaian semasa belum mencapai tahap yang diharapkan oleh kelab, para penyokong, rakan penaja dan seluruh warga penyokong Terengganu.
“Sebagai sebuah kelab yang membawa nama Terengganu, kami sedar bahawa setiap keputusan di atas padang bukan sekadar berkaitan dengan keputusan sesebuah perlawanan, tetapi turut melibatkan maruah, harapan dan kepercayaan penyokong yang sentiasa berdiri bersama Terengganu FC,” menurut kenyataan kelab.
Sang Penyu menjelaskan bahawa bedah siasat dilakukan dua kali. Kali pertama dibuat selepas perlawanan menentang DPMM FC dalam Piala FA. Kali kedua dibuat selepas perlawanan menentang JDT, bersama barisan Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan TFCSB.
Menurut kelab Pantai Timur itu, tempoh rehat kalendar FIFA baru-baru ini telah digunakan sebaiknya untuk memperkemas pasukan. Namun keputusan tetap tidak menyebelahi mereka apabila tewas kepada JDT dan Sabah FC.
Susulan itu, surat peringatan akan dikeluarkan kepada barisan kejurulatihan sebelum aksi Liga Super menentang DPMM FC pada 20 November 2026.
Pada masa yang sama, pengurusan mengakui bahawa tanggungjawab terhadap hala tuju kelab tidak boleh diletakkan hanya kepada pemain atau barisan kejurulatihan.
Kelab akan memastikan struktur, perancangan, sumber, sokongan dan persekitaran kerja yang diperlukan dipertingkatkan sewajarnya. Kelab juga menghargai segala teguran dan pandangan penyokong, kerana kritikan itu lahir daripada rasa sayang dan rasa memiliki terhadap kelab.
“Kami menyeru semua pihak agar terus memberikan sokongan kepada pemain dan pasukan, khususnya ketika melalui tempoh yang mencabar ini. Pihak pengurusan akan terus memantau perkembangan pasukan dan akan mengambil langkah yang diperlukan bagi memastikan Terengganu FC kembali berada pada tahap prestasi yang sepatutnya,” jelas kenyataan itu lagi.
Terengganu FC turut menegaskan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar kepada penyokong, penaja, pemain, warga kerja dan seluruh peminat. Mereka yakin bahawa dengan kerjasama semua pihak, Terengganu FC mampu bangkit semula dan lebih berdaya saing.


