Terengganu Hilang Tonggak Hadapi JDT
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu FC bakal berdepan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tanpa kehadiran lima tonggak utama.

Lima pemain tersebut ialah Manuel Ott, Elvis Kamsoba, Victor Ruiz, Alif Zakaria dan Safwan Mazlan. Khabar ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi selepas melihat sesi latihan pasukan itu baru-baru ini.

Jurulatih Peteh, Nafuzi Zain mengakui persiapan pasukan sedikit terjejas tanpa kehadiran lima tonggak utama mereka. Pada masa sama, beliau percaya pasukan itu akan memberikan yang terbaik bila beraksi di Gong Badak.

“Persiapan kita sedikit terjejas kerana kita dibelenggu masalah kecederaan pemain. Manuel Ott, situasi kecederaan semasa, (beliau) masih menerima rawatan di HSNZ(Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu).

“Victor, Safwan, Alif Zakaria dan Elvis Kamsoba, saya rasa lima pemain yang akan terlepas untuk perlawanan esok. Kita tahu kelima-lima pemain ialah tonggak utama kita dan kita mengharapkan mereka bermain tetapi situasi tidak (memihak kepada kita).

“Saya yakin dengan pemain yang ada. Saya harap pemain yang bertugas pada perlawanan hari esok dapat memberi komitmen,” katanya.

Selepas mengharungi empat perlawanan liga, Terengganu merekodkan satu kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan. Terengganu akan bertemu JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Ahad.