Meskipun kini membimbing Star City FC, peminat Selangor FC tetap mengenang jasa jurulatih Australia, Mehmet Durakovic.
Durakovic bukan asing dengan pasukan yang diberi jolokan The Red Giants itu. Ini kerana beliau bukan saja pernah beraksi bersama Selangor sebagai pemain pada tahun 90-an.
Malah, Durakovic juga pernah membimbing Selangor dari 2013 hingga 2015. Sepanjang bersama The Red Giants, beliau menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali sebagai pemain dan jurulatih.
Lantas, tidak hairanlah sebelum rombongan Star City bertolak pulang selepas aksi Liga Super menentang Selangor, ramai penyokong mahu bergambar dan mendapatkan autograf Durakovic.
Klip video SNE Sports menunjukkan penyokong Selangor ceria bergambar bersama bekas jurulatih Perak itu di Stadium MBPJ.
SNE Sports turut menyelitkan kenyataan yang merujuk status Durakovic sebagai legenda The Red Giants. “Bila legenda kembali,” katanya di X.
Aksi Selangor menentang Star City di Stadium MBPJ menyaksikan tuan rumah meraih kemenangan tipis 1-0.


