Liga Super

Liga Super: 3 Wakil Borneo Pamer ‘Taring’

Tommy Wenzel Halls DPMM Kuching City MFL Liga Super: 3 Wakil Borneo Pamer ‘Taring’
MFL
Advertisements

Saingan Liga Super musim 2026/27 semakin menarik apabila tiga wakil Borneo berada dalam kelompok lima pasukan terbaik liga setakat ini.

Tiga pasukan tersebut ialah Kuching City FC, DPMM FC dan Sabah FC. Kuching City, DPMM dan Sabah masing-masing menduduki tangga ketiga, keempat dan kelima liga.

Lebih menarik, The Cats dan DPMM masing-masing berkongsi 12 mata. Sabah mengekori di belakang dengan 10 mata.

Data BolaKita menunjukkan Kuching City dan DPMM sudah merekodkan empat kemenangan daripada enam perlawanan. Sabah pula merekodkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri dalam tempoh sama.

DPMM sudah menunjukkan mereka pasukan berbeza musim ini. Selain menewaskan Kuching City 3-2 dalam liga, pasukan itu turut menyingkirkan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Terengganu FC dalam Piala FA.

Sabah pula terus berada dalam kelompok lima pasukan teratas dengan menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Likas.

Tugasan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) tidak menghalang Kuching City kembali bersaing dengan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kuching City juga sudah melaungkan amaran dengan menjadikan KL City dan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) sebagai mangsa belasahan.

Justeru, ini menunjukkan ketiga-tiga kelab sudah bersedia untuk meneruskan prestasi baik untuk baki kempen musim ini.