Aksi Hari Perlawanan 6 Liga Super 26-27 menyaksikan Sabah berjaya menundukkan Terengganu di Likas dengan keputusan 2-0.
Perlawanan ditangguhkan selama 20 minit susulan hujan lebat yang memaksa perlawanan berlangsung lebih lewat.
Pasukan kendalian Juan Torres Garrido beraksi dengan cukup baik menerusi gerakan hantaran pendek untuk memecah blok pertahanan pelawat sepanjang 15 minit permainan.
Tatkala Terengganu berusaha menyerap tekanan, kesilapan penjaga gol, Suhaimi Husin yang gagal membaca gerakan bola membawa padah.
Rembatan jarak jauh Kike Catede pada minit k-19 melantun tinggi sebelum Suhaimi lemas ketika membaca gerakan tersebut.
Sabah selesa di hadapan dengan dua jaringan apabila penyerang berbisa, Gonzalo Di Renzo menyudahkan dengan tenang peluang di hadapan gol pada minit ke-24.
Peluang terbaik buat pasukan kendalian Nafuzi Zain hadir menerusi rembatan kencang Mateusinho namun tidak tepat ke sasaran.
Aksi 45 minit pertama pertembungan di Likas tamat dengan Sabah mendahului Terengganu dengan keputusan 2-0.
Malang berganda buat Terengganu selepas penyerang naturalisasi negara, Romel Morales dilayangkan kad merah susulan insiden pergaduhan dengan pemain lawan.
Bersambung pada babak kedua, pasukan pelawat cuba bangkit menerusi serangan balas pantas dari sisi padang.
Ketangkasan penjaga gol Sabah FC, Juan Flere menyelamatkan keadaan selain persembahan cemerlang tonggak pertahanan Rhinos juga berjaya mengawal keadaan.
Sabah berpeluang menambah jaringan ketiga pasukan, namun percubaan Darren Lok melambung ke atas gawang gol Terengganu.
Tambahan masa lima minit tidak cukup untuk mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Sabah kekal di tangga kelima dengan 10 mata selepas enam perlawanan, manakala Terengganu pada kedudukan kesembilan liga dengan 5 mata selepas 6 perlawanan.
Aksi seterusnya menyaksikan Terengganu melayan kunjungan DPMM pada 20 November manakala Sabah bakal ke Kelantan pada 21 November 2026.


