Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain menyifatkan gol pembukaan Sabah sebagai kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan pemainnya selepas mereka tewas 0-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas pada Sabtu.
Menurut Nafuzi, keadaan hujan lebat sebelum perlawanan sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan sehingga pemainnya tidak dapat mempamerkan corak permainan seperti kebiasaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kesilapan yang membawa kepada gol pertama Sabah tidak sepatutnya berlaku memandangkan pemain sudah mengetahui keadaan padang ketika perlawanan berlangsung.
Gol tersebut terhasil pada minit ke-21 menerusi rembatan jarak jauh Kike Kadete dari kawasan tengah padang yang melantun sebelum melepasi jangkauan penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.
Nafuzi turut menjelaskan bahawa kesilapan tersebut akhirnya menghukum Terengganu apabila mereka terpaksa menerima dua jaringan sepanjang perlawanan.
“Pertama, hujan lebat sebelum aksi agak menjejaskan rentak permainan, mungkin kita tidak boleh bermain macam apa yang biasa kita bermain,” komen Nafuzi Zain menerusi temu bual di tepi padang.
“Tetapi kesilapan kita yang memberikan gol pemulaan Sabah itu adalah satu kesilapan yang tidak boleh dilakukan dengan kita pun tahu keadaan pandang seperti ini dan akhirnya kita dihukum hingga (kalah) 2-0,” ulasnya lagi.
Kekalahan itu menyaksikan Terengganu gagal membawa pulang sebarang mata dari Stadium Likas selepas Sabah berjaya memanfaatkan peluang untuk mencatat kemenangan di laman sendiri.

