Debut Hampir Sempurna Buat Syahir Bashah
MakanBola
Malaysia NT

Pemain tengah Selangor FC dan Harimau Malaya, Syahir Bashah mencipta debut hampir sempurna bersama skuad kebangssan apabila meledak gol pada penampilan pertamanya ketika membantu Malaysia membelasah Singapura 6-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026.

Pemain berusia 25 tahun itu dimasukkan pada minit ke-79 bagi menggantikan Arif Aiman. Beliau hanya mengambil masa 8 minit untuk mencipta detik istimewa apabila meledak jaringan pertamanya bersama skuad kebangsaan.

Syahir berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan rembatan leret yang menewaskan penjaga gol Singapura, Izwan Mahbud untuk mengubah kedudukan menjadi 5-0.

Jaringan itu hadir pada saat Malaysia amat memerlukan tambahan gol untuk meningkatkan perbezaan jaringan, sekali gus menyemarakkan harapan Harimau Malaya untuk mara ke final.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Syahir dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Beliau pernah mendapat panggilan pada Jun 2023, namun ketika itu terpaksa berpuas hati berada di bangku simpanan tanpa sempat diturunkan. Dua perlawanan terdahulu dalam FIFA ASEAN Cup 2026 juga menyaksikan pemain Selangor itu belum diberikan peluang beraksi.

Selain jaringan Syahir, kemenangan besar Malaysia turut dihiasi hatrik Bergson yang terus membuktikan ketajamannya di hadapan gawang. Stuart Wilkin dan Paulo Josue turut mencatat nama sebagai penjaring untuk melengkapkan enam gol Harimau Malaya tanpa balas.

Namun, kemenangan 6-0 itu masih belum cukup untuk membawa Malaysia ke final apabila Harimau Malaya menamatkan saingan di tempat kedua selepas Indonesia membelasah Bangladesh 9-2 dan unggul menerusi perbezaan jaringan.