Jurulatih skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16), Shukor Adan mengakui pelan taktikal India menggugat usaha pasukan itu memburu kemenangan dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia B-17 2027.
Pandangan itu disuarakan bekas pemain pertahanan Harimau Malaya itu apabila diminta mengulas prestasi anak buahnya bila menentang India dalam aksi terakhir Kumpulan E.
Malaysia sedar mereka bukan saja perlu menang ke atas India. Malah, anak buah Shukor juga perlu menang dengan kelebihan tiga gol jika mahu layak ke Piala Asia B-17.
Malangnya, India memilih taktikal bertahan bila turun menentang skuad muda negara di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Hal ini menyebabkan banyak serangan Malaysia dipatahkan pihak lawan.
Shukor percaya taktikal itu membantu India memastikan tiket ke Piala Asia B-17 dalam genggaman meskipun seri tanpa jaringan dengan Malaysia.
“Kita pun sudah tahu India tak akan keluar (bermain) secara terbuka dan India akan duduk bertahan. Sebab dia tahu kita nak menjaringkan tiga gol untuk kita layak.
“Taktikal dia berjaya. Kita cuba ubah taktikal kita dengan menambahkan pemain di bahagian serangan juga tidak berjaya apabila disiplin India terlalu baik dekat kawasan pertahanan mereka,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
India layak ke Piala Asia B-17 selaku juara Kumpulan E. Malaysia pula terpaksa menamatkan kempen kelayakan di tempat ketiga kumpulan.


