Penjaga gol Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel memandang positif persaingan sengit untuk merebut slot kesebelasan utama pasukan itu.
Ini kerana pada hemat penjaga gol berusia 24 tahun itu, semua pemain memiliki kualiti tersendiri. Ini termasuk posisi penjaga gol.
Sikh Izhan kini bersaing dengan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Azim Al Amin Kamaruddin untuk slot penjaga gol utama Selangor.
Jika jurulatih Merah Kuning, Kim Pan-gon mahu melakukan penggiliran, beliau tidak melihat perkara itu sebagai isu.
Malah, Sikh Izhan bersedia menyokong dan memberi kepercayaan kepada mereka demi memastikan Selangor meraih kemenangan.
“Sejujurnya kami bertiga bersaing secara sihat, kalau diberi penggiliran pun saya tak risau sebab saya tahu kebolehan Kalamullah dan Azim.
“Mereka berdua pun berada di posisi yang terbaik dan saya rasa sesiapa pun datang, tak ada masalah.
“Insya-Allah kalau Azim atau Kalamullah yang dapat peluang bermain selepas ini, saya masih dan tetap akan memberi semangat dan juga kepercayaan kepada mereka,” katanya.
Sikh Izhan sudah beraksi dalam tujuh perlawanan dalam semua kejohanan musim ini. Beliau merekodkan dua aksi tanpa bolos dan hanya dibolosi sebanyak tujuh kali.
Selangor berharap dapat melebarkan rekod kemenangan 100% bila berdepan Star City FC. Aksi ini juga peluang buat tuan rumah membalas dendam selepas tewas 3-2 dalam aksi suku akhir kedua Piala FA.


