Liga Super

Liga Super: DPMM Buat Negeri Sembilan Terus Kempunan

Negeri Sembilan FC Liga Super DPMM FC Liga Super: DPMM Buat Negeri Sembilan Terus Kempunan
DPMM FC
Advertisements

DPMM FC terus membuatkan Negeri Sembilan FC kempunan meraih kemenangan apabila menewaskan pasukan itu di Stadium Negara Sultan Hassanal Bolkiah.

DPMM berharap dapat bangkit selepas tewas 2-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA. Negeri Sembilan pula berharap dapat meraih kemenangan di Bandar Seri Begawan.

Penyerang Australia, Jordan Murray mengetuai jentera serangan DPMM. Gandingan Yusuke Minagawa, Luqman Hakim Shamsudin dan Akhyar Rashid menjadi pilihan Daniel Gimenez.

DPMM hampir meraih gol pendahuluan seawal minit kedua menerusi Miguel Oliveira. Malangnya, percubaan beliau hanya singgah di tiang gol.

Murray menceriakan penyokong DPMM menerusi gol pada minit ke-12. Bekas penyerang Jamshedpur itu menanduk bola melepasi Syahmi Adib Haikal sebelum masuk ke arah gawang.

Tersentak, Sang Rusa kembali mengatur rentak. Hasilnya, Luqman Hakim meledakkan gol penyamaan pada minit ke-34.

Pada awalnya, gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid. Walau bagaimanapun, gol itu disahkan oleh VAR sekali gus gol pertama Luqman Hakim musim ini.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Negeri Sembilan terus memberi tekanan ke atas kubu DPMM untuk memburu gol penyamaan.

Gimenez kemudiannya memasukkan Jovan Motika, Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal, Alif Mutalib dan Aboubakar Kamara untuk menambah kreativiti di bahagian serangan.

DPMM pula membawa masuk wira mereka ketika menentang Kuching City FC, Dalberto Luan untuk menambah sengat serangan.

Kemasukan Dalberto membuahkan hasil apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-88. Pemain gantian, Oscar Santis memastikan DPMM ceria meraih kemenangan 3-1.

Keputusan ini menyaksikan DPMM kekal di tangga keempat liga dengan 12 mata. Negeri Sembilan di tangga kelapan dengan lima mata.

Selepas ini, DPMM akan menentang JDT untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA pada 8 November. Negeri Sembilan pula akan menentang Kuching City pada 20 November.