FIFA ASEAN Cup: Hong Kong & Kemboja Ke Final Divisyen Dua
MakanBola
HKFA/FFC

Hong Kong dan Kemboja mengesahkan tempat ke perlawanan akhir FIFA ASEAN Cup 2026 bagi Divisyen Dua.

Saingan peringkat kumpulan FIFA ASEAN Cup Divisyen Dua menutup tirai dengan Hong Kong dan Kemboja masing-masing berjaya menjuarai Kumpulan A dan B setelah menempuh dua perlawanan selama seminggu ini.

Pasukan jemputan, Hong Kong muncul juara Kumpulan A selepas mencatat dua kemenangan bersih 4-0 ke atas Laos dan 2-0 mengalahkan Brunei untuk mengutip 6 mata maksimum, sekali gus melangkah ke pentas final Divisyen Dua.

Mengiringi Hong Kong ke final ini adalah pasukan ke-175 dunia, Kemboja yang melakar kejutan besar apabila merekodkan satu kemenangan dan satu keputusan seri untuk menjuarai Kumpulan B meskipun Myanmar dianggap pasukan pilihan.

Kejayaan menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi pertama menjadi pencetus kepada kemaraan Kemboja walaupun dalam perlawanan kedua, anak buah Koji Gyotoku terpaksa akur hanya terikat seri 2-2 ketika menentang Timor Leste.

Empat mata yang dikutip sudah mencukupi buat Kemboja bagi melangkah ke pentas final FIFA ASEAN Cup 2026 Divisyen Dua dengan Hong Kong akan menjadi lawan bagi menentukan gelaran juara edisi sulung kejohanan ini.

Aksi final FIFA ASEAN Cup 2026 Divisyen Dua antara Hong Kong vs Kemboja dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober hadapan.