FIFA ASEAN Cup: Gol Lewat Kemboja Kecewakan Myanmar
MakanBola
MFF

Kemboja akhirnya meraih kemenangan pertama mereka dalam saingan FIFA ASEAN Cup 2026 Division 2 Kumpulan B selepas mencatat gol lewat tunggal Sin Kakada 1-0 ke atas Myanmar di Stadium Kai Tak Sports Park, Hong Kong pada Ahad petang waktu tempatan.

The Chinthe hadir dengan misi memburu kejuaraan Kumpulan B selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Timor Leste dalam aksi terdahulu, sementara Angkor Warriors pula turun buat kali pertama dengan sasaran meraih tiga mata pertama mereka.

Ketua jurulatih Myanmar, Jørn Andersen pastinya mengharapkan Win Naing Tun dan Than Paing meneruskan momentum selepas kedua-dua pemain tersebut menjaringkan gol dalam aksi terdahulu, sementara ketua jurulatih Kemboja, Koji Gyotoku pula meletakkan harapan kepada dua pemain naturalisasi mereka, Iago Bento dan Andres Nieto, untuk mencipta kelainan.

Kemboja sedikit mendominasi penguasaan bola, namun Myanmar tetap memberikan tentangan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebelum separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Kedua-dua pasukan melakukan pertukaran awal pada babak kedua apabila Jørn Andersen memasukkan Phyo Pyae Sone dan Koji Gyotoku menurunkan Sa Ty bagi mencari gol pertama perlawanan.

Sin Kakada muncul wira Angkor Warriors apabila menjaringkan gol pada saat-saat akhir untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas The Chinthe, sekali gus menghadiahkan tiga mata pertama buat Kemboja dalam saingan Kumpulan B.

Kemboja selepas ini akan berdepan Timor Leste pada 30 September dalam perlawanan yang bakal menentukan juara Kumpulan B dan pasukan yang layak ke pusingan akhir Division 2.