Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail mengucapkan tahniah kepadaBekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay atas pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ucapan tahniah itu dikongsikan baginda menerusi satu ciapan ringkas di X pada Rabu.
“Saya ucapkan tahniah kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Ayob Khan Bin Mydin Pitchay atas pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” katanya.
Pelantikan Ayob Khan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM diumumkan presiden badan induk itu, Datuk Ab Ghani Hassan.
Keputusan pelantikan beliau antara keputusan Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Ayob Khan bakal dibantu Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa itu.
Pelantikan dua figura itu dilihat sejajar dengan usaha FAM untuk menambah baik aspek tadbir urus dan tatakelola badan induk itu.