Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kembali mendapat nafas baru menerusi pemilihan barisan kepimpinan badan itu dalam Kongres Luar Biasa KAFA yang diadakan pada Khamis.
Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail mengisi kerusi panas Presiden KAFA. Bekas pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim dipilih sebagai Timbalan Presiden KAFA.
Azman yang cukup sinonim dengan kejayaan treble pasukan itu pada 2012 turut memikul tugas sebagai Setiausaha Agung KAFA. Lebih menarik, dua bekas pemain Harimau Malaya turut dipilih sebagai Ahli Exco KAFA.
Dua figura tersebut ialah Daudsu Jamalludin dan Nor Farhan Muhammad. Pelakon dan penerbit terkenal, Syed Kamaruzaman Syed Mahmood atau Syed Aiman turut terpilih dalam barisan Exco baharu KAFA.
Presiden FAM, Dato’ Ab Ghani Hassan menyifatkan pemilihan barisan kepimpinan baharu KAFA sebagai permulaan baharu buat badan induk bola sepak negeri Kelantan itu.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Rosmadi Ismail selaku Presiden KAFA serta seluruh barisan kepimpinan baharu KAFA yang telah diberikan kepercayaan dan mandat untuk menerajui persatuan ini.
“Saya melihat pemilihan ini sebagai permulaan kepada lembaran baharu buat KAFA untuk membina semula kestabilan organisasi, memperkukuh tadbir urus dan mengembalikan keyakinan seluruh warga bola sepak Kelantan.
“Apa yang penting sekarang adalah semua pihak perlu bersatu, mengetepikan sebarang perbezaan dan memberikan sokongan kepada kepimpinan yang telah dipilih,” katanya.
Ghani berharap barisan kepimpinan KAFA bekerjasama erat bukan saja dengan kepimpinan terdahulu tetapi ahli-ahli gabungan badan induk itu. Beliau melihat perkara itu penting demi menjamin kesinambungan pembangunan bola sepek di negeri Kelantan.
Ghani turut memaklumkan FAM bersedia bekerjasama dengan KAFA dalam memperkukuh soal tadbir urus badan induk itu dan membangunkan potensi bola sepak Kelantan.
“FAM sentiasa melihat KAFA sebagai antara persatuan negeri yang mempunyai peranan penting dalam pembangunan bola sepak negara.
“Justeru, FAM komited untuk terus bekerjasama dan memberikan sokongan serta bimbingan yang sewajarnya kepada KAFA dalam memperkukuh pentadbiran dan membangunkan potensi bola sepak Kelantan,” tambahnya.
KAFA kembali bernafas selepas persatuan itu digantung sebagai ahli gabungan oleh FAM pada 23 Disember 2024. Ini susulan pemilihan jawatankuasa eksekutif dan kongres yang dianggap tidak sah.


