Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan aksi dominan apabila menewaskan kelab Thailand, Port FC 3-0 dalam aksi ketiga AFC Champions League Elite (ACLE) 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.
Tiga jaringan JDT hadir menerusi Jonathan Silva pada minit ke-53, Bergson da Silva pada minit ke-62 dan Stoichkov pada minit ke-86. Jaringan tersebut memastikan Harimau Selatan menutup perlawanan dengan kemenangan selesa di hadapan ribuan penyokong sendiri.
Mengikut kepada statistik yang disediakan MakanBola, JDT menguasai 66 peratus penguasaan bola berbanding 34 peratus milik Port. Statistik itu membuktikan kelebihan tuan rumah dalam mengawal rentak permainan dan membina serangan sepanjang perlawanan.
Dari segi percubaan, JDT merekodkan 27 percubaan dengan tujuh tepat ke sasaran. Port pula hanya menghasilkan dua percubaan dan gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat, sekali gus menggambarkan kesukaran mereka menembusi benteng pertahanan JDT.
Bergson menjadi tumpuan apabila dimasukkan pada minit ke-57 sebelum menjaringkan gol lima minit kemudian. Namun, penyerang itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-64 selepas dilihat memegang lutut ketika meninggalkan padang. Tahap kecederaannya masih belum dapat dipastikan.
Kemenangan itu menyaksikan JDT mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan, hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri. Harimau Selatan kini berada di tangga kedua kumpulan buat sementara waktu dan masih belum tewas dalam kempen ACLE musim ini.
Sebaliknya, Port pula mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Kumpulan A. Untuk aksi seterusnya, JDT bakal bertandang ke Korea Selatan bagi aksi bertemu Jeonbuk Hyundai yang dijadualkan berlangsung pada 3 November ini.
Manakala Port pula bakal menjadi tuan rumah bagi aksi bertemu kelab China, Beijing Guoan yang turut dijadualkan 3 November. Beraksi di hadapan penyokong sendiri, sudah pasti ini akan menjadi peluang terbaik buat Port mencatat kemenangan pertama dalam saingan ACLE musim ini.


