Pertembungan Malaysia vs Indonesia bakal menyaksikan kelibat 5 tonggak utama akan menjadi tumpuan peminat dan media malam ini.
Perlawanan kedua Kumpulan A akan menemukan Malaysia dan Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, dengan kedua-dua negara serantau ini pastinya mahu meneruskan rentak positif dalam kempen FIFA ASEAN Cup 2026.
Skuad Harimau Malaya membuka kempen dengan langkah kanan apabila menumbangkan Bangladesh 3-0 pada petang Jumaat sementara Indonesia berjaya mengatasi tentangan hebat Singapura 2-0 dalam perlawanan pada sebelah malam.
Momentum terbaik dimiliki kedua-dua pasukan ini, ditambah pula dengan kehadiran 5 bintang tumpuan dari Malaysia serta Indonesia pastinya bakal menjadi salah satu sebab perlawanan malam ini wajib disaksikan oleh para peminat.
1- Arif Aiman
Dua jaringan berkualiti tinggi oleh Arif Aiman pada perlawanan pertama lalu, membuktikan bahawa tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) ini sudah kembali menemui sentuhan berbisa setelah beliau berehat panjang akibat kecederaan.
Kelibat Arif Aiman pasti dipantau rapi oleh barisan pertahanan Indonesia pada malam ini, tatkala bintang berusia 24 tahun ini memiliki keupayaan menarik dari segi gerakan dan penyudah yang mampu mengucar-kacirkan lawan.
2- Nooa Laine
Pemain tengah bertahan ini menjadi nadi penting untuk skuad kebangsaan dalam kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh tempoh hari dengan larian dan kawalan tempo permainan yang tenang, membantu Malaysia mematahkan serangan lawan.
Kali ini, ujian getir bakal menanti Nooa Laine bagi mengimbangi barisan pemain berkualiti Indonesia namun dengan ketenangan dan kawalan bola yang baik tidak mustahil tonggak Selangor ini mampu mencipta satu lagi ‘assist’
3- Haziq Nadzli
Kehadiran Haziq Nadzli pada perlawanan lalu memberikan impak segera kepada kemenangan negara, walaupun ramai peminat menjangkakan Tan Cheng Hoe akan kembali menurunkan Syihan Hazmi di pintu gol Harimau Malaya.
Dua aksi penyelamatan penting sebelum ini membuktikan penjaga gawang Kuching City ini turut bersedia bagi tampil di pentas antarabangsa, dengan memastikan pintu gol negara tak dibolosi oleh barisan penyerang Indonesia seperti Ole Romeny.
4- Luke Vickery
Kelincahan dan kepantasan pemain sayap, Luke Vickery perlu diberikan perhatian oleh barisan pertahanan Harimau Malaya bagi menyekat setiap gerakan yang dicuba atur skuad Sang Garuda ini khususnya dari sebelah kanan.
Satu ‘assist’ yang dicipta pemain Macarthur ini seakan menjadi petanda buat setiap pemain agar tidak leka dengan larian-larian tanpa bola yang mampu menjadi pemusnah harapan kepada misi Harimau Malaya meraih 3 mata.
5- Ole Romeny
Kelibat penyerang Indonesia, Ole Romeny memiliki kelebihan fizikal yang dilihat mampu memberi ancaman buat pasukan kebangsaan tatkala bintang Fortuna Sittard ini dijangka sekali lagi menjadi taruhan John Herdman pada aksi malam ini.
Dengan satu gol semasa mengalahkan Singapura lalu, pastinya penyerang berusia 26 tahun ini mendapat suntikan moral bagi terus menggegar pintu gol negara dan tugasan penting kepada Brad Tapp untuk terus mengawasi Ole Romeny nanti.
Aksi Malaysia vs Indonesia bakal berlangsung pada Isnin, 28 September dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8.30 malam di Stadium Gelora Bung Karno dan disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM).