Xisco Munoz Label DPMM Lawan Sukar
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menganggap DPMM FC sebagai lawan berbeza menjelang aksi separuh akhir pertama Piala FA pada 23 Oktober ini di Stadium Nasional Sultan Hassanal Bolkiah (SNSHB).

Bekas jurulatih Watford itu berpandangan sedemikian kerana DPMM dilihat mampu memberi cabaran sengit berdasarkan prestasi mereka dalam Piala FA dan Liga Super.

Saingan Piala FA menyaksikan dua pasukan hebat Liga Super, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) masing-masing disingkirkan anak buah Jamie Mcallister di peringkat pusingan 16 dan suku akhir.

Aksi terbaru Liga Super pula menyaksikan Kuching City FC tersungkur di tangan DPMM. Anak buah Aidil Sharin Sahak tewas 3-2 selain dipaksa beraksi dengan 10 pemain akibat kad merah yang diterima Petrus Shitembi.

Munoz melihat prestasi semasa DPMM menunjukkan pasukan itu akan memberi tentangan sengit apabila kedua-dua pasukan bertemu nanti.

“Sekarang kita perlu mula memikirkan perlawanan seterusnya dan membuat persiapan. Kita tahu bahawa sekali lagi kita akan berdepan dengan pasukan yang sukar, terutamanya apabila kita bermain di tempat lawan.

“Saya tidak tahu dengan tepat lagi bagaimana permainan mereka ketika menang dengan Kuching FC, tapi kita boleh tahu bahawa DPMM FC adalah sebuah pasukan yang seimbang.

“Kadangkala, apabila mereka bermain menentang kita, mereka akan bermain dengan bertahan secara tersusun dan mereka sangat kuat dalam situasi seperti itu. Keadaan ini juga memudahkan mereka melakukan serangan balas yang berkesan dan memaksa kita untuk cari jalan menembusi benteng mereka,” katanya.

Munoz turut memberi bayangan akan membuat beberapa pertukaran untuk perlawanan tersebut. Meskipun begitu, bekas jurulatih Sheffield Wednesday itu menegaskan beliau akan tetap menurunkan barisan terbaik menentang DPMM.

“Usaha untuk mendapatkan keputusan positif di tempat lawan bukan mudah dan setiap pemain harus berikan komitmen penuh dan kekal fokus sepanjang perlawanan.

“Saya akan cuba untuk melakukan sedikit penggiliran pemain bagi aksi itu dan perlu memilih kesebelasan terbaik sebab apa sahaja boleh berlaku dan kita kena buktikan kerja keras ini untuk pastikan kita mampu ke final,” ujarnya.

JDT dan DPMM akan berentap pada 23 Oktober untuk memburu bekalan aksi timbal balik. Aksi timbal balik akan berlangsung pada 8 November ini.