Pemain pertahanan kebangsaan, Daniel Ting menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak Thailand.
Nama bekas pemain pertahanan Sabah FC itu dipilih dalam kesebelasan terbaik Thai League 1 minggu kelima oleh Sofascore. Persembahan cemerlang Daniel membantu Ratchaburi menewaskan Chiangrai United 2-1.
Susulan persembahan itu, pemain pertahanan serba boleh itu mendapat markah 7.7. Rakan sepasukan, Robert Zulj dipilih pemain terbaik perlawanan itu kerana mendapat markah 9.1.
Bekas penyerang Buriram United itu juga memiliki mata tertinggi dalam kalangan semua pemain yang tersenarai dalam kesebelasan terbaik liga minggu kelima termasuk Daniel.
Selain mereka, Sukhotai United memiliki dua wakil menerusi Alberto Gouvea dan Gustavo. Luis Felipe dan Nong Muangngam (Lamphun Warriors), Kelvin (Uthai Thani) dan Kittipong Wongma (Sisaket United) turut tersenarai dalam kesebelasan terbaik minggu kelima.

Bernardo Vilar (PT Prachuap), Chaiyaphon Otton (Port FC) dan Suphawit Romphopak (Rayong FC) melengkapkan senarai pemain dalam kesebelasan sama.
Sejak menyertai Ratchaburi, Daniel menjadi tonggak penting pasukan itu di bahagian pertahanan. Beliau kini merekodkan 27 penampilan dan satu gol untuk The Dragons.