Malaysia kekal ke tangga ke-133 dunia dalam ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Situasi ini memberi sedikit suntikan semangat kepada skuad kebangsaan selepas melalui dua aksi persahabatan antarabangsa yang mencabar sepanjang jendela FIFA bulan November.
Bagi jendela perlawanan antarabangsa itu, Harimau Malaya memulakan kempen dengan kekalahan 0-2 di tangan China pada 14 November lalu. Bagaimanapun, skuad negara bangkit dengan baik tiga hari kemudian apabila menundukkan Yemen 2-1 pada 17 November, sekali gus menutup jendela November dengan kemenangan.
Hasil daripada dua aksi tersebut, skuad kebangsaan kini mengumpul 1,103.07 mata dalam ranking FIFA, meningkat daripada 1,102.09 mata yang dicatatkan dalam kemas kini rasmi pada 7 Oktober lalu. Ini bermakna Malaysia meraih tambahan 0.98 mata, iaitu baki selepas mata yang hilang ketika tewas kepada China ditampung oleh kemenangan ke atas Yemen.
Walaupun tambahan mata itu kecil, ia sudah cukup untuk membantu Skuad Harimau Malaya mengukuhkan kedudukan ke-133 dunia. Kedudukan ini mengekalkan trend positif selepas Malaysia turut naik tiga anak tangga dalam kemas kini Oktober, hasil prestasi cemerlang di Piala ASEAN FIFA.
Pada peringkat Asia Tenggara, Malaysia kekal sebagai pasukan keempat terbaik rantau ini. Thailand masih menerajui ASEAN di tangga ke-90 dunia, diikuti Vietnam (99) dan Indonesia (116), manakala Filipina berada di belakang Malaysia di tangga ke-135.
Jika dibandingkan dengan dua kuasa utama ASEAN, jendela November menyaksikan nasib yang berbeza. Thailand menjadi pasukan paling untung apabila menang kedua-dua aksi di King’s Cup, iaitu 6-0 ke atas Brunei dan 3-0 ke atas Tajikistan di final. Gajah Perang dianggarkan meraih sekitar 6.6 mata, enam kali ganda lebih banyak berbanding tambahan mata Malaysia.
Vietnam pula pulang dengan kerugian. Kemenangan 2-0 ke atas Taiwan memberi tambahan 2.35 mata, namun kekalahan 1-2 di tangan Kyrgyzstan menyaksikan skuad kendalian Kim Sang-sik ditolak 5.30 mata. Secara keseluruhan, Vietnam kehilangan 2.95 mata dan kini mengumpul 1,228.34 mata, kekal di tangga ke-99 dunia.
Pada peringkat Asia pula, skuad kebangsaan kini berada di kedudukan ke-23 dalam kalangan negara anggota Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), sementara di peringkat dunia, Malaysia berada di tangga ke-133 daripada 211 negara.
Persaingan di sekitar kedudukan Malaysia juga cukup sengit. Sierra Leone yang berada di tangga ke-131 selepas jatuh satu anak tangga mengumpul 1,126.50 mata, iaitu 23.43 mata di hadapan skuad kebangsaan ketika ini.
Nicaragua pula naik lima tangga untuk memintas Malaysia dengan 1108.33 mata, manakala Kuwait pula hanya 0.41 mata di belakang dengan 1,102.66 mata, dan kekal di tangga tangga ke-134 dunia.
Jarak yang begitu tipis dengan Kuwait menunjukkan bahawa setiap mata amat penting buat Harimau Malaya. Skuad negara perlu terus mengumpul keputusan positif pada jendela antarabangsa akan datang jika mahu terus mendaki ke arah sasaran 100 terbaik dunia.


