Terengganu Kembali Dikenakan Sekatan FIFA
MakanBola
Terengganu FC

Pasukan Pantai Timur, Terengganu FC menjadi kelab Liga Super terbaru yang dikenakan sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Semakan di pangkalan data sekatan perpindahan FIFA menunjukkan Peteh telah dikenakan sekatan perpindahan sejak 14 Oktober lalu.

Sekatan perpindahan hanya akan ditarik balik sekiranya Terengganu menyelesaikan isu yang dibangkitkan badan induk bola sepak antarabangsa itu.

Sehingga artikel ini ditulis, pengurusan Terengganu belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung sekatan perpindahan terbaru ini.

Sekiranya isu ini gagal diselesaikan segera, ini akan menyukarkan Terengganu mendaftarkan pemain baharu dalam tetingkap perpindahan Januari 2027.

Ini sekali gus berpotensi menggugat rancangan jurulatih pasukan, Nafuzi Zain untuk terus memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Sebelum ini, bekas juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) juga dikenakan sekatan perpindahan FIFA baru-baru ini.

Kelab Lembah Klang itu dikenakan sekatan tersebut kerana gagal menyelesaikan tunggakan membabitkan bekas penyerang import Filipina, Patrick Reichelt.