“Malaysia Boleh Pergi Jauh Di Piala Dunia” – P. Maniam
MakanBola
Malaysia National Team

Jurulatih skuad Malaysia Bawah 15 (B-15), P. Maniam percaya anak buahnya mampu melangkah jauh dalam saingan Festival dan Piala Dunia B-15 2026.

Maniam berpandangan sedemikian kerana melihat kejohanan itu sebagai medan buat skuad muda negara mempamerkan bakat dan kualiti bila berdepan pencabar dalam Kumpulan H.

“Kita boleh pergi jauh dalam perjuangan ini. Ini peluang untuk mereka untuk menunjukkan prestasi mereka,” katanya.

Maniam yang pernah membimbing skuad PDRM FC mahu anak buahnya memberi komitmen 100% jika ingin meraih keputusan positif dalam Kumpulan H.

“Setiap permainan, kita mahu tengok pemain begitu komited, memberi 100%, lepas itu mereka harus berjaya dalam semua perjuangan.Itu tuntutan jurulatih kepada pemain,” tambahnya.

Edisi sulung Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di Azerbaijan akan menyaksikan 189 pasukan dari enam konfederasi telah diundi ke dalam 32 kumpulan.

Perlawanan akan dimainkan menggunakan format lapan lawan lapan di mana kesemua pasukan ini akan beraksi dalam peringkat kelayakan secara liga satu pusingan. 

Skuad muda Malaysia bakal membuka kempen Kumpulan H dengan menentang Republik Dominica pada 24 Oktober ini. Sebelum berangkat ke Baku, Azerbaijan, anak buah Maniam turut menerima suntikan semangat daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan.