ACL

ACLE: JDT Menang Selesa, Tambah Derita Port

Arif Bihr Port JDT JST ACLE: JDT Menang Selesa, Tambah Derita Port
Johor Southern Tigers
Advertisements

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus melebarkan rekod tanpa kalah di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan menewaskan Port di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

JDT berharap dapat merekodkan kemenangan pertama di SSI dalam saingan ACLE musim ini. Port pula berharap dapat mengikut jejak Buriram United mencuri mata di SSI.

Pengendali JDT, Xisco Munoz mengekalkan kesebelasan utama sama yang menewaskan Pohang Steelers. Issam Al-Subhi menjadi sandaran gol Port.

Separuh masa pertama menyaksikan JDT banyak mendominasi perlawanan menerusi penguasaan bola yang tinggi.

Meskipun begitu, Harimau Selatan berdepan kesukaran menembusi benteng Port. Ini disebabkan jurulatih Port, Bozidar Bandovic menggunakan formasi 5-4-1 untuk mengekang serangan JDT.

Hal ini memaksa kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, JDT terus meningkatkan tekanan untuk memburu gol. Hasilnya, Jonathan Silva membuka tirai jaringan pada minit ke-53.

Penyerang kebangsaan, Bergson da Silva menggandakan kelebihan JDT sembilan minit selepas itu. Walau bagaimanapun, beliau hanya sempat beraksi di atas padang selama lima minit selepas menggantikan Shahab Zahedi akibat kecederaan.

Situasi ini mendorong Munoz memasukkan Stoichkov sebagai pengganti Bergson pada minit ke-64.

Jude Soonsup-Bell menyangka berjaya mengurangkan defisit buat Port. Walau bagaimanapun, gol itu dibatalkan atas kesalahan ofsaid.

Bekas penyerang Granada itu meledakkan gol ketiga pada minit ke-86. Kombinasi beliau, Arif Aiman Hanapi dan Nahuel Leiva membantunya menewaskan Michael Falkesgaard.

Port cuba bangkit tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan JDT bukan saja kekal tanpa kalah di pentas Asia musim ini.

Malah, ini juga kekalahan ketiga Port dalam saingan ACLE. Sebelum ini, kelab Thailand itu tewas di tangan dua kelab Jepun, Vissel Kobe dan Kashiwa Reysol.

JDT kini mengalihkan foksu kepada satu lagi aksi ACLE menentang bekas juara K-League 1 musim 2025, Jeonbuk Hyundai Motors. Port pula akan menentang Beijing Guoan.