Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva hanya bertahan tujuh minit beraksi menentang Port FC namun sempat menyumbang gol.
Tonggak berusia 35 tahun itu masuk pada minit ke-57 bagi menggantikan penyerang kelahiran Iran, Shahab Zahedi dalam usaha JDT mencari jaringan kedua perlawanan.
JDT berada di depan hasil ledakan Jonathan Silva pada minit ke-53 selepas rembatannya berjaya memberikan jaringan pembukaan kepada tuan rumah.
Kemasukan Bergson jelas memberi impak kepada jentera serangan Harimau Selatan dalam usaha menambah jaringan untuk berada pada kedudukan selesa.
Beliau berjaya meletakkan diri pada kedudukan yang tepat sebelum bijak menanduk masuk hantaran rakan sepasukan menewaskan Micheal Falkesgaard – penjaga gol Port FC pada minit ke-62.
Bergson meluru ke tepi padang untuk meraikan jaringan bersama rakan sepasukan namun kejadian tidak diingini berlaku.
Penyerang berbisa ini kelihatan terus ke arah pasukan perubatan JDT di tepi padang sambil memegang bahagian lututnya seakan memberi isyarat jelas bahawa beliau mengalami kecederaan.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz tidak mahu mengambil risiko besar apabila terus menggantikan Bergson dengan seorang lagi pemain serangan, Stoichkov pada minit ke-64.
Sungguhpun beraksi hanya tujuh minit, jaringan penyerang naturalisasi negara itu memberikan impak besar kepada JDT untuk melakar kemenangan kedua kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 26-27.


