Sebuah portal Thailand meramalkan Port FC mampu mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
SiamSport melaporkan JDT dilihat memiliki kelebihan bukan saja dari kualiti skuad. Malah, pasukan itu turut beraksi di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Selain itu, portal Thailand itu turut menyentuh jentera serangan Harimau Selatan yang mampu merobek gawang Port.
Justeru, SiamSport melihat benteng anak buah Bozidar Bandovic perlu bekerja keras jika ingin meraih sekurang-kurangnya satu mata di SSI.
Ramalan portal itu turut dibantu dengan kejayaan Buriram United mengikat JDT 1-1 dalam aksi pertama ACLE di SSI pada September lalu.
Kejayaan Buriram mencuri mata di SSI dilihat sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada Port untuk cuba melakukan perkara sama apabila bertemu JDT nanti.
Meskipun ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu secara rasmi, JDT sebenarnya telah menewaskan Port sebanyak dua kali dalam aksi persahabatan.
Ini termasuk kemenangan 3-1 ketika JDT dibimbing Hector Bidoglio dalam aksi persahabatan pada 2025.

