Pengendali interim Malaysia, Tan Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang enteng ancaman jentera serangan Indonesia menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu.
Pandangan beliau dibuat selepas menganalisis video perlawanan pertama Kumpulan A FIFA ASEAN Cup antara Indonesia dan Singapura baru-baru ini.
Cheng Hoe melihat barisan serangan tuan rumah bukan saja memiliki keserasian yang cukup baik. Malah, setiap penyerang yang berada dalam senarai jurulatih Indonesia, John Herdman juga memiliki kelebihan dan kemahiran teknikal menarik.
Atas sebab itu, beliau mahu Harimau Malaya memberi tumpuan sepenuhnya tidak kira ketika menyerang atau bertahan. Cheng Hoe percaya jika itu dapat dicapai, skuad negara mampu meraih keputusan positif ke atas Indonesia.
“Sudah tentu, fokus kita adalah pelawanan tentang Indonesia nanti. Kita lihat dari segi keserasian serangan mereka cukup baik dengan ada kekuatan individu teknik dan skil yang begitu baik daripada bahagian serangan Indonesia.
“Saya rasa pertahanan kita di pasukan kita perlu memberi tumpuan 100%, kita tidak boleh hilang mereka apabila kita menyerang atau bertahan.
“Itu sebab kita perlu lebih keyakinan apabila pergi menyerang kerana setiap peluang yang dicipta kita perlu manfaatkan peluang tersebut,” katanya.
Cheng Hoe turut mengingatkan anak buahnya agar bijak mengawal emosi dan tidak termakan dengan provokasi mana-mana sepanjang perlawanan.
“Dan kita perlu sentiasa mengawal emosi pasukan kerana segala provokasi daripada mana-mana pihak, kita perlu mengawal dengan keadaan yang terbaik,” ujarnya.
Malaysia bakal berentap dengan Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan A pada 28 September ini. Kedua-dua pasukan turun dengan misi meneruskan rentak kemenangan selepas masing-masing memenangi aksi pertama kumpulan.
Perlawanan ini cukup dinantikan oleh pemain kedua-dua pasukan. Penyerang kebangsaan, Bergson da Silva melabel aksi Malaysia menentang Indonesia persis pertembungan dua gergasi Amerika Selatan, Argentina dan Brazil.