Aliff Rakib Rebut Takhta Juara Dunia, Hadapi Prajanchai
UltraSukan
ONE Championship

Pertembungan juara dunia interim ONE Championship, Aliff Rakib dan seorang lagi juara dunia, Prajanchai Pongsuphan PK bakal menjadi kenyataan pada Disember ini.

Pertembungan dua juara dunia itu untuk kategori strawweight itu akan berlangsung pada 18 Disember ini di Stadium Lumpinee, Bangkok. Lebih menarik, pertarungan epik antara Aliff dan Prajanchai bakal berlangsung sebanyak lima pusingan.

Jaguh berusia 32 tahun itu sepatutnya berentap dengan jaguh Malaysia itu lebih awal. Meskipun begitu, Prajanchai kemudiannya menjalani pembedahan bagi membantu proses pemulihan.

Kecederaan itu dialami selepas beliau berentap dengan Jonathan Di Bella dalam saingan ONE Fight Night 36 pada Oktober 2025. Ini membuka ruang buat Aliff untuk terus mara ke depan dan seterusnya, menjadi juara dunia interim kategori strawweight.

Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao pada Julai lalu. Lebih menarik, pertarungan itu turut disaksikan Prajanchai yang kagum dengan aksi ditampilkan Aliff.

Pertarungan ini dijangka menarik kerana jaguh Thailand itu bukan saja licik ketika bertarung. Malah, Prajanchai juga memiliki rekod kemenangan sebanyak 344 kali dalam kariernya.

Aliff pula berharap dapat meneruskan rentak kemenangan sebanyak enam perlawanan. Beliau juga memiliki kelebihan fizikal dari segi ketinggian dan bijak mencari ruang untuk menyerang pihak lawan.