Juara dunia ONE Championship, Prajanchai PongSuphan PK dilihat gentar apabila Aliff Rakib muncul juara dunia interim untuk kategori strawweight.
Reaksi jaguh Thailand berusia 31 tahun itu antara reaksi yang diambil ONE Championship ketika perlawanan antara Aliff dan lawannya, Sam-A Gaiyanghadao di Stadium Lumpinee untuk ONE: The Inner Circle 23.
Prajanchai menonton perlawanan itu bersama seorang lagi jaguh negara, Johan Ghazali. Kedua-duanya dilihat fokus menonton aksi hebat yang ditampilkan Aliff dan Sam-A.
Selepas jaguh berusia 22 tahun itu muncul pemenang menerusi knockout (KO), Prajanchai merasa kagum dengan aksi hebat yang dipamerkan Aliff.
Kedua-duanya kemudian dipertemukan di gelanggang di mana kedua-duanya bakal berentap bagi menentukan siapa jaguh sebenar untuk kategori strawweight.
Meskipun kedua-duanya tampak serius ketika bertemu, Prajanchai kelihatan ceria dengan memegang tali pinggang kejuaraan milik Aliff.
Jaguh kelahiran Kelantan itu kemudiannya mengusik jaguh Thailand itu dengan cuba memegang tali pinggang kejuaraan Prajanchai ketika hendak meninggalkan gelanggang.
Aksi hebat Aliff turut mendapat penghormatan jaguh Lubnan, Ramadan Ondash. Meskipun pernah tewas di tangan beliau sebelum ini, Ramadan memilih untuk bangun dan bertepuk tangan apabila Aliff diisytiharkan pemenang.
Jaguh Lubnan itu akan berentap dengan Johan untuk aksi ONE Championship seterusnya pada 31 Julai ini.