Diikat Malaysia, Nama Shin Tae-yong Bergema
MakanBola
Malaysia NT/ PSSI

Aksi Kumpulan A FIFA ASEAN Cup antara Indonesia dan Malaysia berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Gelora Bung Karno, sekali gus mencetuskan kekecewaan dalam kalangan penyokong tuan rumah yang mula melaungkan nama bekas pengendali skuad Garuda, Shin Tae-yong.

Perlawanan yang berlangsung sengit itu menyaksikan Indonesia beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-36 selepas Thom Haye dilayangkan kad merah susulan terjahan keras ke atas Arif Aiman Hanapi selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Penjaga gol Indonesia, Maarten Paes, turut muncul sebagai antara watak penting apabila beberapa kali melakukan aksi menyelamat cemerlang bagi menggagalkan percubaan berbahaya Malaysia, sekali gus memastikan gawangnya terus tidak dibolosi.

Laungan nama Shin Tae-yong itu dipercayai hadir susulan rasa tidak puas hati penyokong terhadap persembahan Indonesia, terutama selepas pasukan mereka terpaksa bertahan hampir sepanjang baki perlawanan selepas kehilangan seorang pemain.

“Gelora Bung Karno bergema dengan nama Shin Tae-yong,” kongsi penyokong Indonesia, Unmag di laman X.

Untuk rekod, Shin Tae-yong sebelum ini mengendalikan skuad senior Indonesia dari 2020 hingga 2025. Bukan sahaja bersama pasukan senior, malah turut membimbing skuad bawah 23 tahun dan bawah 20 tahun negara tersebut sebelum kini meneruskan kariernya membimbing kelab Persija Jakarta.