UltraSukan

French Open: 3 Beregu Malaysia Bawa Pulang RM136 Ribu

Sze Fei Izzuddin BA Malaysia 4 French Open: 3 Beregu Malaysia Bawa Pulang RM136 Ribu
BA Malaysia
Advertisements

Tiga beregu Malaysia tetap membawa pulang habuan lumayan meskipun terpaksa berpuas hati selaki naib juara dalam saingan French Open 2026 yang melabuhkan tirainya pada Ahad.

Ketiga-tiga pasangan Malaysia itu masing-masing meraih hadiah wang tunai sebanyak US$33,250, bersamaan RM135,836 bagi setiap pasangan.

Dalam acara beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terpaksa akur apabila tewas kepada rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit selama 44 minit.

Sze Fei-Izzuddin yang merupakan pilihan keenam kejohanan memulakan aksi dengan kemenangan 21-13 sebelum Wei Chong-Kai Wun bangkit untuk memenangi dua set berikutnya 21-15, 21-7.

Bagi acara beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah turut membawa pulang habuan sama selepas gagal merampas kejuaraan daripada pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto.

Pearly-Thinaah memenangi set pertama 21-10, namun pasangan pilihan utama itu bangkit untuk memenangi dua set berikutnya 21-17, 21-16 sekali gus mempertahankan kejuaraan mereka.

Sementara itu, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing melengkapkan senarai tiga beregu Malaysia yang muncul naib juara selepas tewas kepada pasangan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, dalam final beregu campuran.

Pang Ron-Pei Jing tewas dalam dua set 10-21, 13-21, sekali gus menyaksikan mereka turut membawa pulang hadiah wang tunai US$33,250.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga pasangan Malaysia itu mengumpul hadiah wang tunai berjumlah US$99,750 atau kira-kira RM407,508, sekali gus memberikan pulangan lumayan kepada wakil negara yang berjaya melangkah hingga ke pentas final kejohanan berstatus BWF World Tour Super 750 itu.