Jurulatih Bangladesh, Thomas Dooley mengakui kualiti hebat ayam tambatan Malaysia ketika menentang Harimau Bengal dalam aksi pertama Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 pada Jumaat.
Bekas jurulatih Sri Pahang FC itu tertarik dengan kehebatan skuad Harimau Malaya yang memiliki ranking lebih tinggi berbanding Bangladesh.
Pada masa sama, Dooley percaya tugas bertemu Malaysia bukan mudah. Ini kerana beberapa pemain tidak menjalani latihan terakhir di San Marino pada tempoh hari.
“Sudah tentu, ini bukan impian yang kami harapkan hari ini, tetapi ia juga merupakan perlawanan yang realistik dan menunjukkan perbezaan antara kami dengan mereka dari segi ketepatan, kualiti teknikal dan taktikal.”
“Ada sebab mengapa mereka berada jauh lebih tinggi daripada Bangladesh dalam ranking. Anda boleh lihat kualiti pemain yang mereka ada di bahagian serangan. Ia memang berada pada tahap yang berbeza.”
“Ada beberapa pemain yang belum menjalani latihan sejak perlawanan terakhir di San Marino. Jika anda tidak beraksi dalam mana-mana liga dan kemudian berdepan Malaysia, yang bermain dalam liga serta kerap beraksi di peringkat antarabangsa, sudah tentu ia menjadi sesuatu yang sangat sukar,” katanya.
Seterusnya, Dooley mahu Bangladesh mempunyai ramai lagi pemain seperti bintang Sheffield United, Hamza Choudhury bagi menguatkan pasukan selain beliau turut berpuas hati dengan persembahan para pemain Harimau Bengal.
“Dengan Hamza, kita memerlukan seorang lagi Hamza di bahagian pertahanan, tengah, tengah menyerang dan pertahanan. Malah, kita juga mungkin perlukan Hamza di bahagian serangan.”
“Secara keseluruhan, saya okay dengan persembahan pasukan. Kami berada di sini untuk belajar,” tambah beliau ketika sesi sidang media selepas bertemu Harimau Malaya.
Bangladesh akan meneruskan kempen ini dengan menentang Singapura di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) pada 28 September ini jam 5.00 petang waktu Malaysia.