Jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe melabel Richard Chin sebagai aset masa depan pasukan itu.
Cheng Hoe berpandangan sedemikian selepas melihat pemain sayap Ross County itu membantu Harimau Malaya menewaskan Yemen 2-1 di Guangdong.
Dua gol itu bukan saja membantu Malaysia menamatkan tahun 2026 dengan kemenangan. Malah, itu juga gol pertama Richard bersama Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Cheng Hoe percaya dengan faktor usia yang masih muda, graduan Charlton Athletic itu mampu menjadi aset utama Harimau Malaya untuk jangka masa panjang.
“Ya kalau kita lihat Richard Chin dengan prestasi dalam dua perlawanan yang terakhir lawan China dan Yemen, ini memberi barisan jurulatih gambaran bahawa Richard Chin sebahagian daripada aset pasukan.
“Bahkan, beliau bukan boleh main di bahagian kanan sahaja tetapi boleh beraksi di sebelah sayap kiri. Itu menjadi kelebihan kepada pasukan negara.
Dan juga yang penting ilah Richard Chin masih muda lagi, masih lagi boleh berkembang dari segi prestasi dan juga (aspek) taktikal individu beliau,” katanya selepas perlawanan.
Prestasi baik beliau dijangka menjadi tonik buat Richard sebelum kembali menyertai Ross County untuk baki kempen musim ini.


