Malaysia menutup tahun 2026 dengan kemenangan apabila menewaskan Yemen di Guangdong pada Selasa.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu kemenangan selepas masing-masing tewas kepada China dan Bahrain. Aksi ini juga menyaksikan Malaysia membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama.
Richard Chin, Safwan Mazlan dan Haziq Kutty Abba diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama. Romel Morales mengetuai jentera serangan Harimau Malaya menggantikan Fergus Tierney.
Malaysia tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Richard pada minit ketenam. Pemain sayap Ross County itu meledakkan voli untuk gol pertamanya di peringkat antarabangsa.
Kemasukan Rodney Celvin Akwensivie dan Syafiq Ahmad pada separuh masa kedua terus merancakkan serangan skuad negara ke atas Yemen.
Hasilnya, Richard menggandakan kelebihan skuad negara pada minit ke-57. Graduan akademi Charlton Athletic itu bertindak pantas menguis bola melepasi penjaga gol Yemen.
Yemen merapatkan jurang defisit menerusi gol Rauf Sheraji pada minit ke-78. Walau bagaimanapun, itu sudah terlewat untuk menghalang kemenangan Malaysia pada akhir perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia meraih tambahan mata ranking sebanyak 4.66 mata.


