Sikap profesional penyerang PAC Omonia 29M, Fergus Tierney terserlah apabila memilih kekal menjalani latihan bersama Harimau Malaya.
Ini berdasarkan siri gambar yang dikongsikan Malaysia National Team baru-baru ini di semua platform rasmi mereka.
Umum mengetahui Tierney perlu menjalani penggantungan satu perlawanan. Ini disebabkan beliau mengutip dua kad kuning dalam aksi Malaysia menentang China.
Meskipun menjalani penggantungan satu perlawanan, Tierney tetap turun berlatih dalam sesi latihan terakhir sebelum menentang Yemen.

Harimau Abroad memuji sikap profesional yang ditunjukkan Tierney. Bekas penyerang Sabah FC itu boleh saja kembali ke Cyprus tetapi tetap memilih bersama skuad kebangsaan.
“Walaupun tidak dapat beraksi menentang Yaman akibat kad merah yang diterimanya semasa perlawanan menentang China, Fergus Tierney tetap meneruskan latihan bersama pasukan kebangsaan pada hari Isnin, dan bukannya pulang ke Cyprus,” katanya di X.
Seorang peminat bernama Mo Shaz Red turut senada dengan Harimau Abroad. Dia memuji sikap profesional dan semangat berpasukan yang ditunjukkan Tierney menerusi komen ini, “Sememangnya salah seorang daripada kita.”
Jurulatih interim kebangsaan, Tan Cheng Hoe sudah ada perancangan untuk mengisi slot peledak utama yang ditinggalkan Tierney. Beliau ada tiga pilihan untuk posisi itu.
Tiga pemain berpotensi mengisi slot berkenaan ialah penyerang Terengganu FC, Romel Morales dan dua tonggak Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue dan Syafiq Ahmad.


