“Hanya Allah Yang Tahu” – Rifdean Masdor
UltraSukan
ONE Championship

Jaguh Muay Thai Malaysia, Rifdean Masdor meluahkan rasa hatinya selepas aksi pertarungan antara dirinya dengan Nadaka Yoshinari untuk merebut gelaran dunia ONE Championship kategori atomweight.

Anak jati Sarawak berusia 24 tahun itu berkongsi bahawa beliau berdepan pelbagai ujian sebelum menghadapi pertarungan tersebut.

“Hanya Allah yang tahu jalan cerita sebenar sebelum aku melangkah masuk ke gelanggang itu.

“Apa yang aku lalui, apa yang aku pendam, dan betapa beratnya ujian yang terpaksa aku hadapi sebelum pertarungan ini. Ada perkara yang tidak mampu aku ceritakan, ada kesakitan yang terpaksa aku telan sendiri, dan ada perjuangan yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa.

“Orang hanya melihat apa yang berlaku di dalam gelanggang, tetapi mereka tidak tahu apa yang aku terpaksa tempuhi untuk sampai ke situ,” katanya dalam satu hantaran di Threads.

Rifdean turut memaklumkan beliau tidak mencari simpati sesiapa. Sebaliknya, beliau hanya mahu menyatakan telah memberi yang terbaik ketika menentang Yoshinari dalam gelanggang.

“Aku tidak mencari simpati, jauh sekali mahu memberi alasan atas kekalahan. Aku cuma mahu Allah menjadi saksi bahawa aku sudah berjuang dengan segala kudrat yang aku ada.

“Mungkin kali ini Allah belum izinkan aku membawa pulang kemenangan yang aku impikan. Tetapi aku percaya, Allah tidak pernah mensia-siakan setiap titis peluh, air mata dan pengorbanan hamba-Nya. Aku kalah dalam pertarungan, tetapi aku tidak kalah dalam perjuangan,” ujarnya.

Meskipun Rifdean tidak menyatakan situasi yang dihadapi, ramai peminat sukan negara percaya ini merujuk kepada kesukarannya membuat persiapan menjelang pertarungan tersebut.

Hal ini menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Siyodtong memberi teguran kepada beliau tentang isu tersebut. Susulan itu, Rifdean kemudiannya memohon maaf dan menjelaskan situasi sebenar.

Beliau turut menegaskan bahawa dirinya kekal komited sebagai atlet Muay Thai profesional dan berjanji bahawa perkara ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

Terdahulu, Rifdean terlepas peluang bergelar juara dunia apabila tewas kepada Nadaka secara TKO pada pusingan kedua pertarungan.