ACL

Jurulatih Jeonbuk Bongkar Taktik Kalahkan JDT

Jung yong K League Jurulatih Jeonbuk Bongkar Taktik Kalahkan JDT
K-League
Advertisements

Ketua jurulatih Jeonbuk Hyundai, Jeong Jeong-yong mendedahkan strategi yang digunakan pasukannya untuk menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 2-0 dalam aksi keempat Kumpulan A Zon Timur AFC Champions League Elite (ACLE) 2026/2027 pada Selasa.

Menurut pengendali kelahiran Korea Selatan itu, mereka sudah menjangkakan JDT akan memberikan tekanan tinggi sepanjang perlawanan dan mengambil keputusan untuk mengeksploitasi ruang yang ditinggalkan di belakang barisan serangan Harimau Selatan.

“Kami menjangkakan lawan akan memberikan tekanan yang kuat. Kami berasakan ruang di belakang barisan hadapan mereka akan terbuka dan mengambil kesempatan terhadap ruang tersebut merupakan strategi utama kami,” jelas Jeong-yong dalam sidang media selepas perlawanan seperti yang disiarkan Chosun.

Beliau turut menjelaskan bahawa Jeonbuk memilih untuk bertahan secara kompak bagi mengekang kemampuan individu pemain JDT yang disifatkan cukup berkualiti. Selain itu, peralihan pantas selepas berjaya merampas bola turut menjadi antara aspek penting dalam perancangan taktikal Jeonbuk.

“Ketika bertahan, kami memberikan tekanan secara kompak kerana lawan mempunyai kemampuan individu yang baik. Kami melakukan peralihan dengan pantas selepas memenangi bola. Secara keseluruhannya, segala-galanya berjalan dengan baik,” jelasnya.

Dalam masa sama, Jeong Jeong-yong menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hasil persembahan sempurna daripada anak buahnya yang memberikan komitmen sepenuhnya, khususnya barisan pertahanan dan penjaga gol, Song Beom-geun yang bekerja keras memastikan gawang mereka tidak dibolosi sepanjang diasak bertalu-talu oleh barisan pemain JDT.

“Ini merupakan perlawanan yang sempurna daripada pemain-pemain kami. Mereka memberikan segala-galanya. Terutamanya barisan pertahanan dan penjaga gol Song Beom-geun yang bekerja keras,” katanya.


Kemenangan tersebut turut menamatkan rekod tanpa kalah JDT dalam kempen ACLE musim ini dengan Jeonbuk Hyundai berjaya meraih tiga mata hasil jaringan Bruno Mota dan Itallo. Menariknya, kedua-dua pasukan kini berkongsi rekod yang sama selepas empat perlawanan dengan masing-masing mencatatkan dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.