Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan ucapan selamat maju jaya buat skuad Harimau Malaya yang bakal turun menentang Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup 2026.
Menerusi satu ucapan menjelang perlawanan tersebut, Anwar berharap barisan pemain negara dapat memberikan persembahan terbaik sambil berjuang demi lencana di dada.
“Selamat maju jaya buat skuad Harimau Malaya dalam perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Vietnam.”
“Berjuang dengan penuh semangat dan berikan yang terbaik demi lencana di dada. Rakyat Malaysia bersama kalian.”
Bagaimanapun, ayat terakhir dalam ucapan Anwar mencuri perhatian apabila beliau secara berseloroh berharap perlawanan Malaysia menentang Vietnam tidak memerlukan masa tambahan yang terlalu panjang.
“Semoga perlawanan ini tidak perlukan bantuan masa tambahan yang terlalu panjang,” tulis Anwar Ibrahim di laman Facebook secara sinis.
Ucapan berkenaan dipercayai mempunyai sindiran sinis terhadap kontroversi yang berlaku ketika aksi Indonesia menentang Bangladesh sebelum ini apabila masa tambahan yang pada awalnya diumumkan selama dua minit kemudian berubah menjadi tujuh minit.
Situasi tersebut menjadi perhatian kerana Indonesia berjaya menjaringkan dua gol tambahan pada masa berkenaan menerusi Kevin Diks pada minit ke-90+6 dan Mitchell Baker pada minit ke-90+7 untuk melengkapkan kemenangan 9-2 ke atas Bangladesh. (FIFA)
Dua jaringan tersebut akhirnya memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan akhir Kumpulan A apabila Indonesia memintas Malaysia dari segi jumlah jaringan dan mara ke final FIFA ASEAN Cup, manakala Harimau Malaya terpaksa berpuas hati dengan aksi penentuan tempat ketiga. (FIFA)
Kontroversi itu turut menyaksikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta FIFA memberikan penjelasan berhubung perubahan masa tambahan tersebut, sekali gus menjadikan isu berkenaan antara perkara yang hangat diperkatakan sepanjang kempen FIFA ASEAN Cup 2026. (detiksport)
Kini, Harimau Malaya akan menutup kempen dengan berdepan Vietnam dalam usaha menamatkan kejohanan di tempat ketiga, dengan perhatian pastinya turut terarah kepada satu lagi “masa tambahan” yang disebut secara berseloroh oleh Perdana Menteri.