Harimau Malaya Ada 5 Misi Besar Bertemu Vietnam
MakanBola
Malaysia NT

Harimau Malaya bakal turun menentang Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta hari ini dengan lima misi utama yang mahu dicapai.

Pertembungan ini hadir selepas Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A di tempat kedua dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe sebelum ini mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, seri 0-0 dengan Indonesia dan menewaskan Singapura 6-0 dalam aksi terakhir kumpulan.

Bagaimanapun, kemenangan besar tersebut masih belum cukup untuk membawa Malaysia ke final apabila Indonesia turut mengumpul tujuh mata sebelum muncul juara kumpulan menerusi kelebihan jumlah jaringan.

Justeru, pertemuan dengan Vietnam menjadi peluang buat Harimau Malaya menutup kempen sulung FIFA ASEAN Cup dengan penamat yang lebih positif.

1. Tamatkan Kempen Di Tangga Ketiga

Misi pertama sudah tentu memastikan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup menjadi milik Malaysia selepas kekecewaan terlepas tiket ke final.

Malaysia sebenarnya melengkapkan tugasan di peringkat kumpulan dengan rekod yang cukup positif, namun jumlah jaringan Indonesia yang lebih tinggi menyebabkan Harimau Malaya terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua Kumpulan A.

Kemenangan ke atas Vietnam bakal membolehkan Malaysia menamatkan kejohanan di tangga ketiga sekali gus menutup kekecewaan gagal beraksi di pentas final dengan keputusan positif.

2. Buru Mata Ranking FIFA

Aksi ini turut menjadi peluang penting buat Malaysia untuk menambah mata dalam ranking FIFA selepas mengumpul tambahan mata menerusi tiga perlawanan sebelum ini.

Berdasarkan pengiraan ranking masa nyata, Malaysia kini mengumpul sekitar 1,095.75 mata dan kemenangan ke atas Vietnam berpotensi memberikan tambahan 6.33 mata kepada skuad negara. 

Tambahan tersebut pastinya penting dalam usaha Harimau Malaya memperbaiki kedudukan dalam carta ranking FIFA, selain memberikan momentum positif untuk kempen antarabangsa yang seterusnya.

3. Kekalkan Rekod Tanpa Kalah

Malaysia juga mempunyai satu lagi rekod yang mahu dipertahankan apabila belum merasai kekalahan sepanjang tiga aksi FIFA ASEAN Cup setakat ini.

Dua kemenangan ke atas Bangladesh dan Singapura serta keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Indonesia menyaksikan Harimau Malaya mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan.

Kemenangan atau sekurang-kurangnya keputusan seri menentang Vietnam akan memastikan Malaysia menamatkan kejohanan tanpa kalah, sekali gus mengekalkan konsistensi yang telah ditunjukkan sepanjang saingan.

4. Teruskan Rekod Tanpa Bolos

Bukan sekadar belum kalah, Malaysia juga hadir dengan rekod pertahanan yang cukup menarik selepas tidak melepaskan sebarang gol dalam tiga perlawanan FIFA ASEAN Cup.

Harimau Malaya menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum dibolosi selepas tiga aksi peringkat kumpulan, dengan Malaysia merekodkan kemenangan 3-0, seri 0-0 dan kemenangan 6-0.

Namun, cabaran kali ini lebih besar apabila Vietnam hadir sebagai pasukan yang berjaya menjaringkan empat gol ketika menewaskan Pakistan 4-2 untuk mara ke aksi penentuan tempat ketiga. 

Lebih mencabar, Malaysia juga bakal turun tanpa kapten Dion Cools yang terpaksa meninggalkan kem atas urusan peribadi, sekali gus menuntut barisan pertahanan negara untuk terus mengekalkan disiplin. 

5. Akhiri Kemarau Kemenangan Ke Atas Vietnam

Misi terakhir pastinya paling menarik perhatian apabila Harimau Malaya mahu menamatkan kemarau kemenangan ke atas Vietnam yang sudah berlarutan sejak 2014.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Vietnam adalah pada separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 apabila skuad kendalian Dollah Salleh mencatat kemenangan 4-2 di Hanoi untuk mara ke final dengan agregat 5-4. 

Selepas lebih sedekad, pertemuan kali ini menjadi peluang buat generasi baharu Harimau Malaya mencipta kemenangan penting ke atas salah satu kuasa bola sepak Asia Tenggara.

Dengan lima misi tersebut menjadi taruhan, aksi menentang Vietnam bukan sekadar perlawanan untuk menentukan tempat ketiga, sebaliknya peluang buat Harimau Malaya menutup kempen FIFA ASEAN Cup dengan satu lagi persembahan yang boleh dibanggakan.

Vietnam sendiri hadir selepas bangkit menewaskan Pakistan 4-2 dalam aksi terakhir Kumpulan B, sekali gus mengesahkan pertemuan dengan Malaysia bagi penentuan tempat ketiga. 

Justeru, perhatian kini terarah kepada Stadium Gelora Bung Karno apabila Harimau Malaya bakal turun memburu lima sasaran penting dalam aksi terakhir FIFA ASEAN Cup 2026.